Monday, October 26, 2009

Kurangkan defisit Belanjawan 2010 : Ku Li

GUA MUSANG - Bajet 2010 yang dibentangkan Perdana Menteri adalah sesuatu yang baik dalam keadaan negara kini menghadapi kemelesetan ekonomi global.
Bagaimanapun, bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, beliau bimbang walaupun banyak cadangan diterima untuk membaik pulih ekonomi, tetapi kerajaan mesti bersungguh-sungguh mengurangkan defisit.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Gua Musang berkata, apabila defisit meningkat banyak, dikhuatiri akan menimbulkan masalah kewangan negara pula pada masa depan. “Ia bukan saja memberikan kesan kepada ekonomi kita, tetapi mungkin menyebabkan lembapnya kemasukan modal luar. “Saya suka melihat kerajaan membuat cadangan rangsangan membaik pulih ekonomi sekarang, tapi pada masa sama perlu mengurangkan perbelanjaan dari segi kos operasi,” katanya ketika diminta mengulas Bajet 2010 pada Majlis Sambutan Aidilfitri Bersama Masyarakat Orang Asli anjuran Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) di Sekolah Kebangsaan Pos Brooke di sini, petang semalam.
Tengku Razaleigh berkata, di samping mengurangkan kadar operasi perlu dilaksanakan pendekatan untuk membaik pulih ekonomi demi kesejahteraan rakyat. Mengenai cadangan diberi pinjaman berbentuk biasiswa kepada penuntut yang memperolehi Ijazah Kelas Pertama Kepujian, beliau berkata, adalah lebih baik semua penuntut diberikan biasiswa dan mereka diminta membayar balik sekiranya tidak menepati syarat ditetapkan iaitu mencapai kepujian kelas pertama. “Tujuannya untuk memberikan galakan kepada pelajar memandangkan ini adalah satu bentuk pelaburan besar negara yang perlu diperhebatkan,” katanya.

No comments:

Post a Comment