Wednesday, July 1, 2009

Rakyat Iraq rai tentera AS undur














Tentera Iraq menyambut meriah permulaan proses pengunduran tentera Amerika Syarikat dari negara mereka mulai kelmarin. Kemeriahan ini disaksikan di Ramadi, ibu kota wilayah Anbar, 115 kilometer ke barat Baghdad. Pengunduran itu dijadual tamat pada hujung 2011. Setakat ini, 120 markas tentera sudah ditadbir askar Iraq manakala 30 lagi ditutup lewat semalam, kata jurucakap Pentagon. - Foto AP
Pengunduran dari bandar, pekan permulaan keluar sepenuhnya lewat 2011BAGHDAD: Tentera Amerika Syarikat berundur dari semua bandar dan pekan di Iraq semalam, sebagai permulaan untuk meninggalkan negara Arab itu menjelang akhir 2011 selepas enam tahun mencerobohnya. Berikutan pengunduran itu, tentera Iraq mengambil alih kawalan di kawasan yang dikosongkan tentera Amerika itu.
Rakyat Iraq menyambut perkembangan berkenaan dengan meraikannya sehingga larut malam dengan tentera dan polis diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga untuk mengelakkan serangan oleh kumpulan militan. "Semua penduduk gembira hari ini kerana ia adalah hari pertama rakyat Iraq melindungi diri mereka sendiri. Kami tahu musuh Iraq akan cuba mengganggu keselamatan tetapi tentera kami bersedia berdepan dengan mereka," kata jurucakap pasukan pertahanan awam Baghdad, Tahsin al-Sheikhli. Pengunduran itu sebahagian daripada perjanjian keselamatan bersejarah yang ditandatangani tahun lalu di antara Baghdad dan Washington meliputi nasib kira-kira 133,000 tentera Amerika yang masih berada di negara Teluk itu.




















PENDUDUK Baghdad meraikan pengunduran tentera Amerika dari bandar mereka, kelmarin. - Foto AP

Kawalan keselamatan diperketatkan berikutan pengeboman yang meragut lebih 200 nyawa bulan ini. Cuti untuk kakitangan pasukan keselamatan dibatalkan dan motosikal, bentuk pengangkutan yang menjadi pilihan pengeboman, dilarang berada di jalan raya. "Kami menjangkakan mungkin penjenayah cuba melancarkan serangan. Itu sebabnya pihak tertinggi kerajaan mengarahkan pasukan keselamatan bersiap sedia 100 peratus sehingga notis selanjutnya," kata Pengarah Operasi Kementerian Dalam Negeri, Mejar Jeneral Abdul Karim Khalaf.
Kelmarin, bekas bangunan Kementerian Pertahanan, yang ditawan menjelang pencerobohan Amerika pada 2003, diserahkan semula kepada kerajaan Iraq. "Ini menandakan berakhirnya pemerintahan pasukan antarabangsa," kata ketua Pemerintah Operasi Baghdad, Jeneral Abboud Qambar. Peristiwa itu disambut meriah ramai penduduk yang membanjiri taman terbesar di Baghdad petang kelmarin. Penyanyi popular Iraq termasuk Salah Hassan, Kassem Sultan dan Abed Falek, yang menetap di luar negara, turut pulang untuk meraikannya. Sementara itu, dalam dua kejadian berasingan 25 orang terbunuh dan 40 lagi cedera akibat letupan bom kereta di sebuah pasar di Kirkuk, utara Iraq, menjelang pengunduran tentera Amerika. Polis berkata, angka kematian itu mungkin meningkat di bandar yang kerap menyaksikan pergaduhan antara pentadbir kerajaan pusat dan puak Kurdis. Dalam satu lagi pertumpahan darah yang mengingatkan kembali kepada kempen tentera Amerika pada 2003, empat askar Amerika yang bertugas di Baghdad terbunuh kerana cedera ditembak. – AFP/Reuters

No comments:

Post a Comment